"Sejak tular beristeri tiga, ramai yang bertanya mengenai rahsianya," kata Hafizatul Najmi Pizat.
Najmi, 33, dari Kampung Gomuk, Tepoh, mengahwini Roslina Mohd Jam Marti, 32; Wan Nur Khairul Nazrah, 30; dan Nur Atikah Mohd Nazri, 26.
Katanya, dia sentiasa diajukan mengenai rahsia berkahwin lebih daripada satu dan boleh hidup harmoni.
"Rahsianya tidak susah iaitu hanya berpegang kepada ajaran Islam dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian selain memperbanyakkan amalan bersedekah.
"Sedekah paling penting kerana ia memberi keberkatan dalam keluarga selain berlaku adil dalam setiap keputusan. Layanan baik kepada ahli keluarga terutama ibu bapa isteri-isteri paling penting.
"Sebagai contoh, memperuntukkan sedikit wang dan hadiah untuk mereka pada hari lahir dan membeli keperluan semua ahli keluarga untuk menyambut hari raya," katanya.
Menurutnya, dia membahagikan giliran beraya dengan sebaik mungkin dan seadilnya supaya semua isteri seronok menyambut hari raya.
"Raya pertama kami akan berkumpul sekejap sebelum tiga isteri pulang beraya ke kampung masing-masing.
"Hari raya pertama hingga ke tiga saya akan beraya di rumah keluarga isteri pertama, Roslina di Marang.
"Raya keempat hingga enam beraya di rumah keluarga isteri kedua, Wan Nur di Besut dan raya ketujuh hingga sembilan beraya di rumah isteri ke tiga, Nur Atikah di Pulau Pinang," katanya yang mempunyai lapan anak berusia 6 tahun hingga 13 tahun bersama tiga isteri.
Menurutnya, dia berasa lega kerana membuat persiapan awal untuk beraya sekali gus tidak mengalami masalah apabila hari raya diumumkan awal sehari daripada jangkaan.
"Cuma tarikh giliran yang perlu diubah dan bernasib baik kerana berkerja sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.
"Saya menggalakkan sesiapa saja yang nak berpoligami kerana ia sangat membahagiakan cuma perlu membuat persiapan daripada segi mental dan fizikal terlebih dulu.
"Hidup berpoligami memang indah namun perlu ingat cabaran dan dugaannya juga lebih besar daripada biasa," katanya.
Katanya, dia tidak bercadang untuk menambah isteri bagi memenuhi kuota yang ada dalam tempoh terdekat namun tidak menolak takdir dan jodoh sekiranya ada rezeki berkahwin lagi.
Sumber : Harian Metro