Ladang tak kisah 'overtime' untuk hantar ayam ke Singapura sebelum 1 Jun

encik gotenks
0

Penafian : Gambar hanya sekadar hiasan semata-mata.

Pembekal di Malaysia bekerja lebih masa untuk menghantar sebanyak mungkin ayam ke Singapura sebelum larangan eksport mula berkuat kuasa 1 Jun ini.

The Strait Times Singapura melaporkan lapan pengeksport, petani dan pembekal di Malaysia terkejut dengan keputusan Putrajaya mengharamkan pengeksportan ayam mulai Rabu depan.

Mereka berkata, sejak itu, mereka bergegas untuk mengeksport sebanyak mungkin ayam ke Singapura, dengan beberapa ladang bekerja siang dan malam untuk mengatur penghantaran tambahan.

Ini menyusul lonjakan permintaan untuk ayam segar di Singapura berikutan larangan yang diumumkan Putrajaya, dengan pasar raya kehabisan bekalan.

Bagi mengelakkan kekurangan bekalan di Malaysia, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengeksportan ayam diharamkan sehingga harga domestik dan pengeluaran stabil.

Tetapi, mereka yang berada dalam industri itu berkata, kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos, penyakit dan cuaca buruk adalah punca di sebalik kekurangan itu.

“Walaupun beberapa ladang memutuskan untuk menaikkan harga bersama, ada ramai lagi yang akan terus menjual pada harga lebih rendah, dan kemudian semua orang akan membeli yang lebih murah,” kata seorang pengeksport tidak dinamakan kepada akhbar harian Singapura itu.

“Mungkin selepas seminggu, mereka yang menaikkan harga akan menyedari mereka kehilangan perniagaan dan segera menurunkan harga semula.”

Beliau mendapati disebabkan ayam ialah komoditi yang bergerak pantas dengan ramai peserta dalam pasaran, sebarang cubaan untuk memanipulasi pasaran akan gagal akhirnya.

Di Malaysia, ayam sepatutnya dijual pada harga siling RM8.90 sekilogram, tetapi ramai mengatakan ia dijual sekitar RM11.90 sekilogram.

Pengeksport berkata, ini disebabkan kos tambahan akibat kenaikan harga petrol dan makanan ternakan, bukannya harga dinaikkan untuk mengaut keuntungan tambahan.

Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, ia bekerjasama rapat dengan industri untuk menangani bekalan ayam di negara itu, manakala Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar negara itu melanjutkan waktu operasi bagi pemeriksaan ayam hidup yang masuk ke pusat pemeriksaan Tuas dari 25 hingga 31 Mei ini.

SFA berkata, Singapura mengimport kira-kira 73,000 tan ayam dari Malaysia tahun lalu, iaitu kira-kira 34% daripada penggunaan ayam tahunannya.

Hanya 115 ladang ternakan di Semenanjung Malaysia yang diluluskan SFA untuk diimport. Daripada jumlah itu, 91 ladang terletak di Johor.

Sumber Artikel : FMT

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)