Dihimpit dengan dakwaan telah tiga bulan berkahwin dan bergelar isteri kepada seorang lelaki yang dikenali dengan Datuk Z, Mawar Karim, 33, menafikan perkara tersebut dengan tegas.
Kata Mawar, sebelum ini dia juga telah beberapa kali berkongsi mengenai kisah sedang dalam proses mengenali seseorang dan ada perancangan untuk ke arah fasa perkahwinan.
“Nama pun dalam proses mengenali… Tentulah hajat di hati itu nak kahwin secepat mungkin. Tentang dakwaan dah berkahwin tiga bulan itu, saya nafi.
“Tak mungkin saya akan berkahwin sekarang sebab banyak lagi urusan masih perlu diselesaikan. Antaranya kes di mahkamah tempoh hari,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Mawar mengikut laporan sebuah portal tempatan dan memetik sumber, didakwa telah berkahwin sejak tiga bulan lalu dengan Datuk Z.
Sumber tersebut kononnya mendedahkan, Mawar berkahwin dengan Datuk Z di sebuah majlis yang diadakan di Bukit Tinggi, Pahang.
Selain itu, Mawar kepada Utusan memberitahu, dia tidak begitu selesa jika perihal kahwin kerap dijadikan bahan cerita di mana-mana platform media kerana beranggapan dirinya bukanlah seorang artis.
“Saya ini bukan penyanyi, bukan pelakon atau pengacara. Saya ini orang berniaga. Lainlah kalau saya ini macam Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Kalau saya artis san kemudian orang tanya-tanya, saya faham. Saya selesa untuk bercakap hal kerjaya saja. Bagi saya, hal peribadi terlalu privasi untuk diceritakan pada umum.
“Bukan apa, saya ini takut kalau hal yang baik (kahwin) macam ini tak jadi. Malu nanti. Maklumlah kita ini hanya merancang, Allah SWT yang menentukan,”katanya.
Untuk rekod, Mawar pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Fizo Omar pada November 2013 namun bercerai pada 10 Julai 2019.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Wan Maryam yang kini berusia lima tahun.
Sumber Artikel : Utusan Online