Harga barangan naik mendadak, rakyat disaran tanam sayur dan ternak haiwan, kata Menteri besar Perak

encik gotenks
0

Susulan kekurangan bekalan makanan, Kerajaan Negeri Perak menyarankan supaya rakyat di negeri itu menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu juga sebagai inisiatif menangani isu kenaikan harga barangan yang melanda rakyat ketika ini.

"Macam kambing, lembu, kerbau dan ayam ia boleh diternak dan ditampung oleh usaha ternakan orang tempatan. Sekurang-kurangnya kita ternak (haiwan) atau tanam sayur-sayuran untuk sara diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Perak SADC Agrofest Raya di The Treasure di Taman Herba Gopeng di sini hari ini.

Menurutnya, ia sekali gus mengelak daripada kebergantungan bekalan makanan daripada luar negara.

"Jadi, kerana itu banyak tempat kita mengadakan kempen iaitu tanam apa yang kita nak makan dan makan apa yang kita tanam, selebihnya jual," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Perak setakat ini memberi jaminan bekalan ayam mencukupi.

"Setakat semalam saya dimaklumkan kita ada penternak yang besar iaitu Dinding Poultry dan setakat ini mereka memberi jaminan bekalan di Perak mencukupi.

"Sekarang tiada masalah, kecuali kalau orang sengaja menyorokkan bekalan (ayam) itu untuk tujuan menaikkan harga, tetapi di peringkat bekalan tiada masalah," katanya.

Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)