Penyanyi, Aina Abdul membuat permohonan maaf kepada semua pihak termasuk peminatnya susulan gaya hijab dikatakan mirip biarawati gereja atau 'sister' pada sidang media konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 2.0 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Aina, 29, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata, gaya itu adalah idea daripada dirinya sendiri dan pasukan pengurusannya yang berinspirasikan koleksi fesyen Mason Margiela 2022/Spring Summer.
"Saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan penampilan saya pada Sidang Media ANWAA 2.0, baru-baru ini.
"Namun, saya mengakui kekhilafan dan ia mendatangkan salah faham ramai pihak, jadi saya ingin memohon maaf," katanya.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Aina berkata, dia akan lebih berhati-hati dalam berfesyen pada masa akan datang.
"Saya akan lebih berhati-hati dalam berfesyen selepas ini. Selamat berhujung minggu, semoga semuanya berada dalam rahmat Allah SWT," katanya.
Terdahulu, Aina dalam kenyataan disiarkan akhbar ini berkata, dia hanya mahu menghargai gaya itu sebagai satu fesyen.
"Sebenarnya penampilan ini memang kita nak tampil macam ni. Saya suka fesyen walaupun nampak macam 'sister', saya hanya menghargai ia sebagai fesyen saja.
"Fesyen just untuk 'statements' sementara. Bukan kita pakai macam ni, saya berubah saya memuja sesuatu. Ini cara saya untuk beri inspirasi kepada mereka yang mahukan sesuatu yang lain," katanya.
Sumber Artikel : Harian Metro