Bukan senang nak bertunang dengan adik bongsu, saya terpaksa berdepan dengan tujuh abang dia, kata Zaki Azeman

encik gotenks
0

"Bukan senang nak dapatkan tunang ini. Saya kena berdepan dengan tujuh abang dia. Dia seorang saja perempuan dan bongsu pula," kata pelakon, Zaki Azeman, 28, yang bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Siti Nor Sahira Ahmad, 23, di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan, esok.

Zaki atau nama sebenarnya Mohamad Zaki Azeman berkata, ketika pertama kali berjumpa keluarga tunangnya dua tahun lalu, dia 'diangkut' pada jam 2 pagi dibawa ke rumah mereka (keluarga bakal isteri) dan dikelilingi tujuh abangnya serta ditanya macam-macam.

Zaki berkata, itu adalah cubaan keduanya selepas kali pertama gagal ekoran Siti Nor Sahira atau Raa Suzuran ketika itu takut untuk memberitahu semua abangnya.

Siti Nor Sahira atau Raa Suzuran juga adalah adik kepada pelakon dan penyampai radio, Jaa Suzuran.

"Setiap abangnya berbeza. Bayangkan kami sudah bercinta dua tahun, tapi mereka tak tahu hubungan kami sebab tunang takut nak bagi tahu abang dia.

"Kali pertama saya ke Kota Bharu, Kelantan bersama abang atas tujuan nak jumpa keluarga dia. Namun, tak jadi sebab dia takut nak cakap dengan abangnya. Ini kerana setiap abangnya berbeza dan dia pun takut.

"Selepas kali pertama gagal, dua tahun lalu saya pergi bersama keluarga pula. Terkejut juga apabila jam 2 pagi mereka dah ambil saya. Selepas soal dan tanya macam-macam, mereka cakap sebenarnya 'respect' pada saya sebab tak sama dengan lelaki lain yang mahu berkawan dengan adik mereka. Cuma mereka terkejut sepanjang perhubungan kami mereka tak tahu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zaki yang juga pelakon drama Bidadari Salju, pertemuan itu bagaimanapun bukan bermaksud hubungan mereka sudah direstui.

"Apabila saya terus terang cakap nak kahwin dengan adik mereka, ada yang terima dan ada yang tak. Saya faham sebab mereka ada seorang saja adik perempuan.

"Masa itu saya belum kenal lagi keluarga dia. Jadi, saya pun 'follow' Instagram setiap abangnya. Dari situ saya cuba kenal mereka dengan lebih dekat. Memang betul, setiap abangnya berbeza. Diakui agak susah nak ambil hati mereka. Contohnya Jaa Suzuran, dia agak susah sebab dia sangat rapat dengan Raa. "Alhamdulillah, sampai satu tahap mereka yang paling betul-betul nak saya kahwin dengan adik mereka. Hinggakan untuk majlis perkahwinan kami esok, mereka bersama-sama uruskan dan tawarkan diri beli itu, ini serta banyak lagi," katanya.

Menurut Zaki, dia berkenalan dengan tunangnya di aplikasi permainan video PUBG apatah lagi Siti Nor Sahira adalah 'gamers'.

Malah, mereka juga menjalani perhubungan jarak jauh sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan pada 2 Februari lalu.

Sumber Artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)