Elak tanya soalan bila nak kahwin

encik gotenks
0

 


Penafian : Gambar digunakan hanya sekadar hiasan

Selepas dua tahun tidak dapat melakukan aktiviti ziarah-menziarahi ketika musim perayaan, pastinya Aidilfitri kali ini menjadi tumpuan masyarakat Islam memeriahkan tradisi kunjung-mengunjung yang menjadi amalan selama ini.


Biarpun tidak sabar menanti hari kebesaran bagi umat Islam itu malah mungkin ada yang sudah siap mengatur perancangan menziarahi rumah sanak-saudara dan sahabat-handai namun ramai sedia maklum kepentingan tidak mengabaikan prosedur operasi standard ketika negara berada di fasa peralihan ke endemik.


Dalam keseronokan meraikan lebaran, perihal adab ketika berkunjung ke rumah orang tidak kira sanak saudara, sahabat handai mahupun jiran tetangga tidak boleh dipandang enteng.


Ini kerana sikap ambil mudah terhadap kepentingan perihal adab ketika berziarah boleh mengundang risiko merosakkan hubungan silaturrahim.


Walaupun rumah dikunjungi itu milik adik-beradik atau saudara terdekat, adab bertandang tetap perlu dititikberatkan bagi memastikan hubungan kekeluargaan terus terpelihara, demikian menurut pakar pembangunan keluarga dan kasih sayang Rozieta Shaary atau lebih dikenali sebagai Ibu Rose.



"Sebenarnya tidak boleh ambil mudah (perihal adab bertandang). Betul, boleh jadi pergaduhan kalau kita tidak ambil peduli. Tanggungjawab kita sebagai tetamu adalah memudahkan tuan rumah. Contoh, kita pergi ke rumah ibu saudara kita, jangan kita susahkan dia walaupun kita dah biasa dengan ibu saudara kita tu.


"Jangan kita kata 'alah tak pe, mak cik tak kisah pun.' Memang ibu saudara kita tidak cakap tapi kita sebagai tetamu kena jaga anak-anak kecil kita, jangan buat sepah dan lebih bagus, kita bantu mengemas," katanya.


Isu perihal adab ketika bertandang di Aidilfitri bukan perkara baharu bahkan ia kerap menjadi isu pada setiap musim perayaan selain pernah dibangkitkan selebriti terkenal Datuk Redzuwan Ismail atau lebih dikenali sebagai Cef Wan yang menegur sikap sambil lewa ibu bapa kerana tidak menjaga kelakuan anak mereka ketika bertandang.


Teguran itu mendapat pelbagai komen orang ramai yang berkongsi pengalaman dengan keletah anak tetamu jadikan sofa tuan rumah seperti taman permainan, kotorkan meja makan, jenguk dari bilik ke bilik, cari permainan dan membuka peti ais tuan rumah serta sikap ibu bapa yang gemar membuang lampin pakai buang anak mereka dalam tandas tuan rumah.


Mengulas perkara itu, Rozieta berkata, ibu bapa perlu mendidik anak mereka dengan sentiasa memberi pesanan sebelum bertandang ke rumah orang.


Beliau berkata, ibu bapa perlu menyenaraikan perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa berada di rumah orang.



"Sebelum bertandang, buat satu perjanjian dengan anak tapi jangan uguut mereka. Ibu bapa perlu terangkan jangan kotorkan rumah tetamu, mesti berkelakuan baik, kalau mahu bermain dengan mainan anak tuan rumah kena minta izin dulu dan sebagainya.


"Semasa berada di rumah orang pula, suami isteri mesti bersama perhatikan anak mereka. Satu lagi, ibu bapa muda selalu terlepas pandang bab lampin pakai buang anak. Walaupun dalam tandas tu ada tong sampah, sebaiknya kita bawa plastik siap-siap," katanya.


Rozieta juga berkata, perihal adab ketika bertandang juga termasuk adab dalam percakapan dengan mengelak daripada bertanyakan soalan sensitif yang boleh mengundang rasa tidak selesa kepada tuan rumah.


"Tak payah nak tanya soalan sensitif seperti bila nak kahwin, bila nak ada anak dan sebagainya…jangan sindir atau kecam badan juga. Cakap perkara yang bagus seperti bertanya khabar dan cerita yang baik," katanya.


Beliau berkata, apa yang penting, tetamu dan tuan rumah memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan suasana harmoni iaitu tetamu bertandang dengan niat memudahkan tuan rumah manakala tuan rumah pula menyambut tetamu dengan layanan yang baik dan mesra.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)