"Niat saya hanya untuk sampaikan bantuan kepada maangsa namun mungkin disalah erti kerana pakaian ketika itu tidak sesuai dengan tempat dan keadaan," kata jurulatih kecergasan Asraff Rosli.
Asraff, 33, mengundang kecaman netizen sejak beberapa hari lalu selepas gambarnya memakai kostum adiwira sewaktu mengagihkan bantuan kepada maangsa banjir tular di laman sosial.
Bercerita lanjut, Asraff berkata, dia bukan sengaja memakai kostum untuk menarik perhatian sesiapa lebih-lebih lagi dalam keadaan maangsa ditimpa musibah.
"Sebenarnya, ada majlis pelancaran produk dekat pejabat saya di Semenyih pada hari berkenaan (19 Disember) dan disebabkan itu saya memakai kostum sebagai gimik untuk rakaman video.
"Susulan banjir, majlis itu dibatalkan dan pihak pengurusan yang kemudiannya minta bantuan saya untuk terus Taman Sri Nanding bagi menyampaikan bantuan makanan kepada maangsa di situ.
"Kiranya, saya tidak sempat pulang ke rumah untuk tukar baju dan terus bantu bawa makanan iaitu 500 burger dan air mineral ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Asraff berkata, dia tidak sangka pakaiannya itu akan menjadi isu hingga tular di laman sosial.
Bagaimanapun, dia enggan mengendahkan kata-kata negatif dilemparkan netizen kerana apa lebih penting adalah bantuan diamanahkan untuk diagihkan sampai kepada maangsa.
"Setibanya di lokasi kejadian, saya terus turun daripada kereta dan keluarkan barangan di but untuk diagihkan.
"Tergamam dan sedih sangat melihat keadaan rumah maangsa malah saya tidak banyak cakap hari itu kerana mengenangkan nasib mereka.
"Tak tahu pula gambar saya tular sehingga rakan kongsikan namun saya mohon maaf seandainya ada yang kurang senang dengan pemakaian saya itu," katanya yang mempunyai tujuh tahun pengalaman dalam bidang kecergasan.
Asraff berkata, dia bercadang menghantar bantuan susulan namun menunggu keadaan reda kerana menerima maklumat adanya kesesakan ke lokasi rumah maangsa banjir kerana banyak sukarelawan turun padang untuk membantu.
Sumber : Harian Metro