AirAsia telah menerima kelulusan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) hari ini untuk tambahan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak bagi tempoh terhad iaitu dari 11 Disember 2021 sehingga 5 Januari 2022.
Ia secara langsung menurunkan harga tiket Kuala Lumpur-Kuching dari sekitar RM1,000 sebelumnya kepada kurang RM200 sehala dan ia sudah hampir habis terjual sebaik jualan dibuka.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sebagai penerbangan kos rendah, pihaknya memerlukan jumlah inventori yang tinggi untuk membolehkannya menawarkan harga tiket yang rendah kepada penumpang.
"Operasi kami adalah berlandaskan kecekapan ekonomi (economies of scale) iaitu dengan mendapatkan jumlah penumpang yang tinggi dan seterusnya membahagikan penjimatan kos kepada mereka.
"Harga purata untuk tambang penerbangan AirAsia antara Sarawak dan Semenanjung sebelum ini hanya sekitar RM160 sehala setiap penumpang.
"Harga purata ini mengambil kira harga tertinggi dan terendah termasuk ketika kami menawarkan jualan promosi tambang percuma," katanya dalam kenyataan hari ini, bagi mengulas isu hangat di media sosial berhubung harga tiket yang mahal untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak menjelang perayaan Krismas dan musim cuti serta pilihan raya negeri Sarawak yang dijadualkan pada 18 Disember 2021.
Menurutnya, model penetapan harga AirAsia adalah berdasarkan permintaan dan penawaran serta ia serupa dengan yang digunapakai oleh syarikat penerbangan lain seluruh dunia.
"Pematuhan terhadap kekerapan penerbangan yang dihadkan oleh SDMC telah menyebabkan pengurangan inventori tiket penerbangan yang ditawarkan dan seterusnya menyebabkan mekanisme penetapan harga dinamik kami menghasilkan harga tinggi apabila tiket pada harga rendah telah habis terjual.
"Ini juga adalah mekanisme sama yang diguna pakai untuk menawarkan harga promosi termasuk tiket serendah RM99 sehala pada Oktober lalu.
"Secara umumnya, harga tiket akan meningkat apabila semakin hampir ke tarikh penerbangan dan juga pada musim cuti, ketika hampir semua penerbangan kami hampir penuh sehingga 90 peratus.
"Jumlah kekerapan penerbangan yang dihadkan adalah faktor utama yang melonjakkan harga tiket bagi semua syarikat penerbangan," katanya.
Menurutnya, AirAsia mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik, menghubungkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru, Kota Kinabalu serta pelbagai destinasi di Malaysia.
"Untuk laluan Kuala Lumpur-Kuching sahaja, AirAsia mengendalikan sebanyak 12 hingga 15 penerbangan sehari sebelum tempoh pandemik, tetapi dengan kelulusan terbaru daripada MOTS, kami hanya dibenar mengendalikan lima penerbangan harian bagi laluan popular ini dan ini adalah pengurangan 67 peratus dalam kapasiti kami disebabkan sekatan oleh SDMC," katanya.
Riad berkata, ramai pelanggan telah mendapatkan tiket pada harga rendah pada jualan promosi Oktober lalu dengan harga tiket antara Kuala Lumpur dan Sarawak hanya serendah RM99 sehala.
"Amat jelas bahawa permintaan sememangnya tinggi tetapi buat masa ini kami tidak dapat memenuhinya sehinggalah kelulusan diberikan untuk lebih banyak penerbangan.
"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SDMC dan MOTS atas kelulusan untuk penambahan penerbangan terbaru bagi musim cuti dan perayaan Krismas.
"Kami dengan ini merayu kepada MOTS dan SDMC untuk juga meluluskan permohonan penerbangan tambahan untuk Tahun Baru Cina, dan seterusnya menghapuskan sepenuhnya sekatan atas kekerapan bagi penerbangan yang telah diluluskan.
"Ini akan membolehkan kami menguruskan kos dengan lebih baik dan cekap seterusnya menurunkan tambang untuk manfaat semua penumpang," katanya.
Sumber : Harian Metro