Seorang guru di Facebook meluahkan kebimbangannya berhubung silibus sekolah rendah yang terlalu tinggi arasnya dan tidak selaras dengan pemikiran murid-murid sekolah rendah terutamanya murid tahun satu.
Pemilik akaun bernama Mohd Fadhli Salleh berkata, satu daripada subjek yang dilihat mempunyai aras pemikiran terlalu tinggi adalah Bahasa Melayu.
Pada usia tujuh tahun, katanya, murid-murid perlu mempelajari mengenai perkataan, frasa, ayat, penjodoh bilangan, kata seru dan banyak lagi.
Mohd. Fadhli turut memberitahu, silibus padat itu akan membuatkan murid-murid hilang minat untuk belajar di sekolah.
“Kesian anak-anak kita. Mereka macam tikus makmal dan diperlaku bagai robot tiada perasaan untuk puaskan hati orang atasan dan agar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) orang di kayangan tercapai,” tulisnya di ruangan kapsyen laman Facebook.
Hasil daripada luahan Mohd. Fadhli, Unit Integriti Kementerian Pendidikan telah memanggilnya bagi tujuan sesi temu bual berhubung pendedahannya di media sosial.
Rata-rata warganet yang juga merupakan golongan ibu bapa turut meluahkan perasaan yang sama iaitu melihat silibus yang dipelajari oleh anak-anak mereka selain berharap pihak Kementerian Pendidikan dapat membuat kajian semula.
“Ye cikgu… kembar saya kalau suruh buat Bahasa Melayu mesti nangis…sebab tak faham…lagi saya yang ngajar pon tak reti nak ajar mcm mana..last suruh tulis je jawapan saya bagi janji hantar,” komen Nisa Samad.
“Betul cikgu… ni baru BM, belum Maths lagi… Saya sendiri yang tengok silibus anak-anak pening, dan saya faham kenapa anak-anak macam dah tak seronok belajar, sekolah rendah kenapalah nak disumbat semua dlm silibus. Harap sangat suara cikgu dan ibu bapa didengari,” komen Lyza Samsudin.
“Betul, homework ber page-page kena buat. Macam tak releven belajar gini. Nak eja pun merangkak. Ini kan nak buat ayat,” komen Masyanti Idris.
“Yang paling mencabar idea tersurat dan tersirat…perghh…yang belum menguasai bacaan sepenuhnya ternganga la time cikgu mengajar,” komen Liana Lizziyana.
Sumber -UTUSAN ONLINE