Sebut saja mengenai polligami pasti membuatkan kaum hawa jadi tidak keruan. Perkataan itu membuatkan mereka paranoid kerana enggan berkongsi kasih hingga timbul tanggapan negatif mengenainya, walaupun polligami adalah syariat Islam.
Lebih menyedihkan apabila ada wanita sanggup memilih untuk bercerai daripada hidup berpolligami biarpun sudah membina mahligai sejak berpuluh tahun lamanya.
Bagaimanapun, ada juga wanita yang terbuka untuk berpolligami, malah turut menjadi 'ejen cari jodoh' buat suami mereka di laman sosial.
Lebih mengagumkan apabila ada antara mereka yang boleh tinggal sebumbung dengan madu dan hidup bahagia dengan suami tercinta.
Ikuti kisah hidup sebahagian mereka sebagaimana yang diceritakan kepada wartawan Sri Ayu Kartika Amri dan Redzuan Muharam.
KISAH 1
Kajang: Hubungan polligami mungkin ditakuti kebanyakan wanita dan alasan lazimnya adalah kerana enggan berkongsi kasih namun tidak bagi ibu kepada sembilan anak, Sumaiyah Sulaiman.
Buktinya, Sumaiyah, 47, dari Sungai Ramal Luar, di sini, dengan rela hati merisik wanita yang juga rakan baiknya, Siti Nor Jaffar, 47, menjadi isteri kedua buat suaminya, Abd Rashid Zainal, 46, 15 tahun lalu.
Menurut Sumaiyah, suaminya tidak pernah meluahkan hasrat untuk berkahwin lagi, malah mereka bahagia dengan adanya empat zuriat ketika itu, tetapi dia sendiri mahu merasai pengalaman hidup berpolligami.
"Niat untuk menjalani hubungan polligami sudah lama ada kerana ia dalam syariat, jadi mustahil Allah menghalalkan sesuatu yang memudaratkan.
"Jadi, saya luahkan hasrat itu kepada suami dan dia tidak keberatan cuma minta saya yang carikan (isteri) untuknya.
"Ikutkan tiada calon, tetapi kebetulan teringat Siti Nor yang juga rakan baik sekuliah ketika menuntut di Jordan jadi cuba menghubunginya bagi memberitahu hasrat saya sebelum mengajaknya ke rumah untuk berkenalan dengan suami," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sumaiyah berkata, proses perkenalan berjalan lancar, tetapi keluarga terutama daripada sebelah suami terkejut dengan tindakannya, namun dia cuba menerangkan kepada mereka alasannya berbuat demikian.
"Keluarga agak terperanjat dan ada yang risau dengan nasib saya jika suami berkahwin lagi.
"Bagaimanapun, saya cuba yakinkan keluarga dengan beritahu madu seorang yang baik dan akhirnya mereka dapat menerimanya.
"Saya ada empat anak ketika itu dan ada beritahu mereka yang babah (panggilan anak kepada suami) akan berkahwin lagi dan mendapat ibu baharu. Alhamdulillah, mereka faham walaupun masih kecil ketika itu," katanya.
Menurut Sumaiyah, dia dan Siti Nor mulanya tinggal berasingan sebelum duduk bersama dua tahun selepas berkahwin dengan suami.
Sumaiyah mengakui mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan selepas suaminya menikahi Siti Nor, namun hanya untuk seketika dan bukan dalam tempoh lama.
"Ilmu yang ada sedikit dan kami bertiga pula tiada pengalaman jadi hanya tahu apa erti sebenar polligami selepas melaluinya.
"Biasalah, apabila kita melakukan perkara baik dengan niat kerana Allah, ujiannya lebih kuat tetapi saya cuba tetapkan pendirian dan terima hakikat untuk berkongsi kasih serta berdamai dengan takdir.
"Salah faham dalam hubungan itu memang ada dalam perhubungan tetapi tidak lama kerana saya dan madu lebih suka bertolak ansur tanpa terlalu berkira soal penggiliran," katanya yang mengakui akrab dengan madunya.
Menurut Sumaiyah, memang ada yang mencemuh Siti Nor pada peringkat awal kerana mereka beranggapan madunya itu menjadi orang ketiga dalam hubungannya dengan suami.
Selepas mengetahui kisah sebenar, individu berkenaan tampil memohon maaf dan kini tiada lagi kata-kata negatif diterima daripada insan sekeliling.
KISAH 2
Dulu tak nampak keindahan polligami...
Kuala Langat: Seperti segelintir wanita, Norhayati Mohd Salleh, 37, juga sukar menerima hubungan polligami, malah tersentak ketika suaminya menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.
Baginya, perasaan itu normal kerana tiada siapa mahu berkongsi kasih namun persepsinya berubah selepas diajak suami, Musa Mohd Amin, 37 untuk mendalami ilmu mengenai polligami.
Pemahaman mengenai polligami itu juga menjadikan persepsi negatif yang ada dalam diri hilang hingga Norhayati terbuka hati untuk hidup bermadu.
"Jujurnya, saya menentang dan marah apabila suami menyatakan keinginannya untuk berkahwin lagi hingga mempersoalkan mengapa perlu ada yang ketiga sedangkan rumah tangga kami bahagia.
"Suami berterus terang dengan niatnya untuk menambah lagi zuriat dan kami cuba berbincang secara baik kemudian mencari ilmu dengan menyertai kumpulan polligami dan meminta pasangan dalam komuniti itu berkongsi pengalaman mereka.
"Penyertaan dalam kumpulan itu beri peluang kepada saya melihat keindahan polligami dan ikutkan, suami tiada calon pada awalnya, tetapi dia minta saya carikan," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Bandar Saujana Putra, di sini.
Menurut ibu empat anak itu, dia pernah berikhtiar mencari jodoh buat suaminya dengan memuat naik hantaran di laman sosial.
Norhayati berkata, hantarannya itu mendapat maklum balas daripada segelintir wanita tetapi kebanyakannya hanya mahu berkenalan saja.
"Memandangkan tiada yang bersungguh, saya hentikan pencarian kerana keluarga juga nasihatkan begitu dan tidak fikirkan soal itu sehingga suami berkenalan dengan seorang wanita iaitu madu saya kini.
"Suami ajak saya dan anak keluar bersama dengan madu (bakal isteri ketika itu) untuk berkenalan.
"Saya lihat dia wanita yang baik, malah boleh menerima anak. Jadi, tidak keberatan menerimanya sebagai madu cuma keluarga saja terkejut pada mulanya tetapi akur kerana tiada halangan daripada saya," katanya.
Menurut Norhayati, dia langsung tidak sedih malah teruja untuk hadir ke majlis perkahwinan suaminya dengan isteri kedua, Nurfaidhatul Idha Idris, 23, pada 26 Julai 2018.
"Masa majlis tak rasa apa sebaliknya saya duduk bersama di meja ketika mereka makan beradab. Keluarga madu juga melayan saya dan anak dengan baik, jadi semuanya berjalan lancar ketika itu," katanya.
Bagaimanapun, Norhayati tidak menafikan sulit untuknya menyesuaikan diri dengan kehadiran Nurfaidhatul kerana pada awalnya mereka tinggal serumah.
Katanya, perasaan janggal itu kemungkinan ada kerana masing-masing masih baru mengenali satu sama lain.
"Saya memang reda dan memberi izin suami berkahwin lagi cuma tak dinafikan, ada perasaan cemburu ketika awal perkahwinannya dengan isteri kedua.
"Bagaimanapun, apabila ada perasaan itu, saya terus beristighfar untuk membuang tanggapan negatif dan akhirnya emosi jadi stabil seperti sedia kala.
"Salah faham dalam perhubungan memang ada tetapi apabila ada rasa kurang senang, saya dan madu terus berterus terang supaya masalah antara kami tidak berpanjangan," katanya.
Sementara itu, madunya, Nurfaidhatul Idha yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital tidak pernah menyangka akan menjalani kehidupan rumah tangga polligami pada usia muda, namun menerima ketentuan takdir dengan reda.
"Mulanya memang tidak boleh terima, perasaan cemburu juga kuat mungkin kerana baru berkahwin dan ikutkan darah muda kerana saya masih belajar lagi ketika awal perkahwinan.
"Lama kelamaan, timbul keserasian di antara kami (dengan isteri pertama) dan saya sudah menganggapnya seperti kakak sendiri.
"Saya juga jadikannya rakan kerana bila ada masa, kami akan bersembang, masak bersama dan saya sayang kesemua anaknya seperti zuriat sendiri," katanya.
Sumber : Harian Metro